
Ranau: Seorang pendaki Gunung Kinabalu yang mengalami kekejangan otot melampau terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dalam kejadian di kilometer 4, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, wanita terbabit dilaporkan sukar bergerak dan perlu dibantu untuk turun ke kaki gunung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.50 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai termasuk MOSAR, Malim Gunung serta renjer Taman Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota PBB MOSAR bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.
“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan stretcher robinson oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya cuba dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut namun mangsa enggan dan sebaliknya mengikuti rombongannya ke Taman Kinabalu.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.50 petang.
-Deasoka