
Tuaran: Pembukaan tiga lagi pusat eko-pelancongan di Kiuli, di sini, bakal melonjakkan aktiviti ekonomi seterusnya menjana pendapatan penduduk kawasan setempat.
Produk eko-pelancongan yang dibuka adalah membabitkan aktiviti rekreasi dan pengembaraan baharu iaitu Camp Ratau Site di Kampung Ratau, laluan mendaki Sangod-Hill di Kampung Lokub dan laluan mendaki Watu Kokoluton di Kampung Talantang.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, produk eko-pelancongan baharu uanh diusahakan komuniti belia di tiga kampung berkenaan berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung dan penggemar aktiviti pengembaraan untuk meneroka Kiulu.
“Ini sekali gus menguatkan lagi kedudukan Kiulu sebagai hab aktiviti eko-pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini.
“Di pihak Kementerian saya dan juga Lembaga Pelancongan Sabah, kita sentiasa menyokong pembangunan pelancongan desa berasaskan komuniti dan sentiasa mencari produk destinasi luar bandar baharu yang boleh diperkenalkan kepada pelancong, terutama apabila sempadan negara kita dibuka semula pada April 1 ini,” katanya selepas majlis perasmian projek Community Adoption Programme Sabah dan pembukaan tiga eko-pelancongan baharu di Kampung Lokub, di sini, semalam.
Produk aktiviti eko-pelancongan itu dibuka hasil daripada projek Community Adoption Programme Sabah yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan Yayasan RYTHM dan Good Shepherd Services, dengan penglibatan komuniti setempat.
Hadir sama, Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy; Ahli Lembaga Pengarah Good Shepherd Services, Petrus Gimbad; Ketua Pegawai Kewangan Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Kiulu, Mejin Moginggow.
Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata, projek komuniti itu bertujuan untuk memberi sokongan akademik dan memperkasa kemahiran belia di bidang pelancongan bagi mengurangkan kemiskinan di kalangan komuniti luar bandar.
“Program pembangunan belia sebegini sangat diperlukan untuk membuka mata anak-anak muda untuk berani mengambil peluang dan bekerjasama mengusahakan sesuatu di kampung mereka,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu turut berkata, dengan mengusahakan aktiviti eko-pelancongan bersaskan komuniti boleh menjana pendapatan lumayan dan ia memerlukan penglibatan semua penduduk kampung untuk menjadikan tempat pelancongan mereka menarik, terbaik dan terkenal.
“Selain itu, pertanian juga merupakan satu potensi produk pelancongan yang boleh diketengahkan. Dengan kemahiran sedia ada, komuniti boleh merancakkan lagi ekonomi dengan mewujudkan aktiviti pelancongan eko-dan-agro.
“Oleh itu, saya menyeru semua komuniti untuk memanfaatkan sebaik mungkin peluang latihan-latihan yang disediakan untuk memajukan diri dan sekaligus menaiktarafkan hidup seluruh penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, projek komuniti terbabit juga telah memanfaatkan 48 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Lokub melalui sokongan akademik yang dilaksanakan belia dari Kampung Ratau, Kampung Lokub, dan Kampung Talantang.
Dalam inisiatif tersebut, belia telah menjadi guru tuisyen bagi membimbing pelajar sekolah secara bersemuka, memandangkan pembelajaran di sekolah bertukar sepenuhnya secara dalam talian.
-Deasoka