
Sook: Operasi mencari seorang remaja berusia 17 tahun yang hilang selepas dihanyutkan ‘kepala air’ di Borneon Timber, Jalan Tulid, di sini, masuk hari keempat, disambung hari ini.
Operasi yang dimulakan kira-kira jam 8 pagi tadi itu dijalankan pasukan bomba dengan kerjasama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan unit anjing pengesan K9.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian kini sudah meliputi keluasan 10 kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan.
Katanya, operasi pencarian yang dijalankan membabitkan kekuatan seramai 15 anggota dan pegawai serta dibantu pelbagai agensi penyelamat lain.
“Sepanjang operasi dijalankan, pasukan bomba masih gagal menemui sebarang petunjuk yang boleh membantu kepada penemuan mangsa.

“Operasi yang dijalankan semalam ditangguhkan pada jam 6 petang berikutan cuaca gelap,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, lokasi operasi todak mempunyai litupan GIRN dan talian telekomunikasi namun maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Dalam kejadian jam 7 malam, 6 Ogos lalu, mangsa Kenn Mohd Alfiandar Angkorou @ Abdula, dilaporkan bersama tiga lagi keluarga termasuk bapanya cuba menyeberangi sungai berkenaan.
Bagaimanapun, air sungai tiba-tiba bertukar deras dan terus menghanyutkan keempat-empat mangsa.
Tiga daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa gagal ditemui sehingga kini.
-Deasoka