MoU kaji cadangan pindah KKIA ke Kimanis

MoU kaji cadangan pindah KKIA ke Kimanis

Kuala Lumpur: Kerajaan Sabah melalui cabang pelaburan strategiknya, Qhazanah Sabah Bhd (QSB) semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pemaju hartanah ternama, Berjaya Land Bhd (B-Land) bagi meneroka kemungkinan memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QSB, Ahmad Rizal Dahli, berkata menerusi MoU itu, QSB dan B-Land menjalin kerjasama awal untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dan kerja penerokaan ke atas cadangan projek berkenaan.

Ahmad Rizal (kiri) bersama Syed Ali (kanan) menunjukkan dokumen MoU bagi kerjasama berkaitan pemindahan KKIA di antara QSB dan B-Land sambil disaksikan Salleh (dua kiri) dan Vincent (dua kanan) di Kuala Lumpur.

Katanya, QSB ditugaskan untuk melihat pelbagai inisiatif pembangunan strategik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah, termasuk kemungkinan memindahkan KKIA dari lokasinya sekarang ke Kimanis.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak berkepentingan dan membuat pertimbangan secara konsensus sebelum keputusan untuk memindahkan lapangan terbang itu dibuat.

“Cadangan untuk memindahkan KKIA sudah disuarakan dalam pelbagai perbincangan sejak kira-kira sedekad lalu. MoU ini membolehkan kita melihat cadangan ini secara terperinci, khususnya dari segi manfaat ekonomi dan penilaian kesan sosial.

“Kita melihat ke hadapan untuk menggunakan kepakaran yang dibawa rakan kerjasama awal dengan B-Land, khususnya dalam pembangunan infrastruktur.

“Sebarang hasil daripada keputusan kajian kebolehlaksanaan itu akan dibuat berdasarkan kepentingan yang terbaik kepada negeri. Perkara ini sentiasa menjadi tumpuan dalam apa saja yang kita lakukan,” katanya dalam satu kenyataan sempena pemeteraian MoU itu, di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani Ahmad Rizal selaku wakil QSB dengan disaksikan Setiausaha QSB, Rudy Jaglul, manakala B-Land diwakili Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan Berjaya Corporation Bhd, Syed Ali Shahul Hameed dengan Pengerusi Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan sebagai saksi.

Hadir sama ialah Pengerusi QSB, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Pengarah QSB, Datuk Johnson Tee dan Ketua Pegawai Eksekutif B-Land, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin.

Ahmad Rizal berkata, KKIA sudah tidak dapat diperbesarkan dari segi operasi, termasuk pembesaran bangunan terminal dan landasan, di samping fasiliti lain disebabkan kawasan tanah yang terhad di lokasinya sekarang yang dikelilingi tanah milik persendirian dan kedudukannya yang hampir dengan pusat bandar raya.

“Kedudukan KKIA sekarang juga antara faktor penangguhan pembangunan pusat bandar raya Kota Kinabalu disebabkan peraturan dan larangan yang diwujudkan berikutan adanya lapangan terbang berdekatan.

“Sebaliknya, jika dipindahkan ke Kimanis, lapangan terbang itu boleh memiliki lebih daripada sebuah bangunan terminal dan landasan.

“Sabah kemudiannya akan dapat memanfaatkan kedudukan geografinya di tengah Asia Tenggara untuk meneroka menjadi hab pengembaraan udara di wilayah Asia Timur,” katanya.

MoU berkenaan merangkumi pemindahan KKIA termasuk pembinaan dan pembangunan lapangan terbang antarabangsa yang baharu di Kimanis selain pelan pembangunan mapan yang akan dilaksanakan di Kimanis atau mana-mana tanah lain yang dilihat sesuai oleh kerajaan negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|