
Tawau: Kerajaan negeri akan memastikan seramai 670 keluarga mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal di Kampung Kurnia Jaya, di sini mendapat penempatan baharu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tiada mangsa yang terkecuali daripada perhatian.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mencari penyelesaian terbaik memastikan mangsa dapat mendirikan semula rumah.
“Saya akan berbincangkan dengan Ketua Menteri supaya semua mangsa mendapat harapan baharu untuk masa depan keluarga dan anak-anak mereka.

“Saya tahu mereka mengharapkan dapat membina semula rumah di tempat asal tetapi perkara ini akan dibincangkan supaya pembinaan akan datang lebih tersusun dan teratur,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran, di sini, hari ini.
Beliau menyampaikan sumbangan UMNO Sabah berupa wang tunai sebanyak RM500 setiap keluarga selain barang keperluan lain.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Hamild Awang dan Ketua Bahagian UMNO Tawau, Ghazali Ansing.
Bung Moktar berkata, kerajaan negeri juga akan berusaha membina penempatan melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) supaya lebih ramai rakyat mendapat kediaman yang selesa.
Katanya, walaupun pembinaan PPR memerlukan dana yang besar dan tapak tanah yang sesuai tetapi kerajaan akan berusaha supaya ia dapat direalisasikan.
“Menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada rakyat sudah menjadi tanggungjawab kerajaan dan ini akan saya bawa ke mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk di daerah ini supaya menjaga keselamatan diri dan tidak membina rumah terlalu rapat bagi mengelak perkara tidak diingini.
Jelasnya, kebakaran besar berlaku di perkampungan yang dibina terlalu rapat dan tidak tersusun menyebabkan kemusnahan ratusan rumah.
-Deasoka