DUN Sabah: RM1.14 bilion anggaran sumbangan tahunan kerajaan Pusat

DUN Sabah: RM1.14 bilion anggaran sumbangan tahunan kerajaan Pusat

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyasarkan menerima RM1.14 bilion sumbangan tahunan kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya, berkata sasaran itu menunjukkan peningkatan berbanding RM1.09 bilion yang diterima Sabah pada tahun lalu.

“Jumlah yang telah diterima oleh kerajaan negeri bagi pemberian-pemberian itu (sumbangan kerajaan Pusat) adalah RM1.13 bilion pada tahun 2020 dan RM1.09 bilion pada tahun 2021.

“Bagi tahun 2022, dianggarkan sejumlah RM1.14 bilion akan diterima,” katanya menjawab soalan Datuk Amisah Yassin (BERSATU – Dilantik) mengenai geran tahunan diterima Sabah daripada kerajaan persekutuan.

Jasnih berkata, secara keseluruhan sebanyak 11 jenis terimaan dan sumbangan tahunan daripada Kerajaan Persekutuan yang diakaunkan sebagai Hasil Perbekalan dan Pembangunan.

Katanya, terimaan terbabit ialah Pemberian Mengikut Kiraan Kepala; Pemberian Khas; Pemberian Pertambahan Hasil (Bahagian Pertama); Pemberian untuk Menggantikan Duti Import/Eksais ke atas Petroleum; Sumbangan kepada Kos Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan; dan Pemberian bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus bagi Jabatan-Jabatan di bawah Senarai Bersama.

Terimaan selebihnya, beliau berkata ialah Pemberian bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus Lembaga Muzium; Pemberian Sumbangan bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus Perpustakaan Negeri; Pemberian Pelancongan; Geran Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP); dan Pemberian Penyelenggaran Jalan Negeri (MARRIS).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|