
Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) kembali menganjurkan majlis konvokesyen bermula 26 Mac ini selepas dua tahun tidak mengadakannya disebabkan pandemik Covid-19.
Majlis Konvokesyen Ke-22 itu adalah untuk pelajar yang menamatkan pengajian pada 2020, membabitkan seramai 4,278 graduan dalam pelbagai bidang pengajian.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Yap Yun Hin, berkata majlis konvokesyen berkenaan berlangsung hingga 31 Mac ini.
Katanya, seramai 2,643 daripada jumlah graduan berkenaan berasal dari Sabah, manakala bakinya adalah graduan dari negeri lain dan antarabangsa.
“Bagi pelajar antarabangsa, seramai 134 akan bergraduasi pada majlis konvokesyen itu nanti dengan kumpulan terbesar adalah dari China seramai 74 orang, diikuti Brunei (21), Timur Leste (10) dan Indonesia (tujuh).
“Selebihnya ialah dari Pakistan dan Vietnam masing-masing empat orang, Bangladesh (tiga), Mesir (dua) dan masing-masing seorang dari Thailand, Oman, Kemboja, Korea, Tanzania, Libya, Algeria, Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya pada taklimat mengenai majlis konvokesyen itu kepada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, semalam.
Taufiq berkata, seramai 67 graduan pasca siswazah turut menerima Doktor Falsafah (PhD), manakala seramai 287 graduan menerima ijazah sarjana pada majlis konvokesyen berkenaan.
Kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri itu juga bertujuan untuk menyampaikan jemputan kepada Hajiji selaku Pro Canselor UMS bagi menghadiri majlis konvokesyen berkenaan.
Sebelum ini UMS mengumumkan akan mengadakan tiga majlis konvokesyen pada tahun ini, masing-masing untuk graduan yang tamat pengajian pada 2020, 2021 dan pada tahun ini.
Majlis Konvokesyen Ke-22 untuk pelajar tamat pengajian pada 2020 dijadualkan pada bulan ini, diikuti Majlis Konvokesyen Ke-23 untuk pelajar tamat pengajian tahun lalu pada Jun depan dan Majlis Konvokesyen Ke-24 untuk pelajar tamat pengajian tahun ini pada November depan.
-Deasoka