
Sandakan: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan kesan tikaman di bahagian dada dalam kejadian di sebuah pondok berhampiran Jambatan 15, Kampung Sim-Sim, di sini, awal pagi tadi.
Lelaki warga Filipina berusia 69 tahun terbabit ditemui dalam keadaan terlantar dan berlumuran darah oleh anaknya pada jam 6 pagi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.40 pagi.
Katanya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, terdapat mayat seorang lelaki terlantar dengan kesan tikaman di bahagian dada.
“Kejadian disedari oleh anak lelakinya yang pergi ke pondok itu untuk berniaga pada jam 6 pagi dan sebaik tiba didapati mangsa telah mati dengan kesan darah di dada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang peniaga sayur-sayuran secara kecil-kecilan dan sudah berkahwin serta mempunyai dua anak.
“Mangsa kali terakhir ditemui masih hidup kira-kira jam 5.30 petang Ahad, di mana anak mangsa ada berjumpa serta berbual dengannya di hadapan gerai mereka.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Azhar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil memberikan maklumat.
-Deasoka