
Penampang: Sebuah kontraktor projek pembinaan di Cyber City, Kapayan, di sini diarah menghentikan kerja serta-merta selepas diberi empat notis berkaitan kegagalan mematuhi syarat ditetapkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM), hari ini.
Tindakan itu diambil ketika Operasi Penguatkuasa Bersepadu yang dilaksanakan LPIPM Sabah bersama agensi penguatkuasa lain di daerah ini.

Pengarah LPIPM Sabah, Rosmen Ag Hassan berkata, hasil operasi telah memeriksa satu kontraktor dan 17 subkontraktor bagi sebuah tapak pembinaan di kawasan berkenaan.
Katanya, dalam operasi itu, LPIPM telah memeriksa seramai 325 pekerja iaitu 135 adalah pekerja asing manakala 190 lagi adalah pekerja tempatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati daripada 325 pekerja hanya 46 pekerja saja yang mempunyai akreditasi (kad perakuan pekerja mahir) dan selebihnya belum dipastikan.
“Sebab itu kita minta kontraktor berkenaan datang ke pejabat LPIPM untuk mereka mengemukakan senarai pekerja tersebut adakah mereka ini layak untuk diakreditasi atau sebaliknya.
“Oleh itu, empat notis yang dikeluarkan kepada kontraktor iaitu notis meminta makluman, notis arahan hadir, notis kesalahan akreditasi dan notis pemberhentian kerja-akreditasi,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu di sini, hari ini.
Katanya lagi, susulan daripada empat notis yang dikeluarkan itu menyebabkan kerja-kerja pembinaan di tapak berkenaan dihentikan daripada beroperasi.
“Kerja pembinaan dihentikam serta merta selepas empat notis dikeluarkan dan pihak kontraktor diberi tempoh selama tujuh hari untuk mengemukakan dokumen yang diperlukan.
“Nasihat daripada penguatkuasa juga membuat keputusan untuk memberhentikan kerja disebabkan kesalahan di bawah Seksyen 33A(1) Akta 520 LPIPM bagi kesalahan akreditasi,” katanya.
Selain itu, katanya Majlis Daerah Penampang (MDP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut memberi amaran lisan kepada pihak kontraktor berkenaan.
“Amaran lisan diberikan berhubung pengurusan sampah di tapak pembinaan dan kelengkapan keselamatan pekerja serta amaran lisan di bawah Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975,” katanya.
Sehubungan itu, Rosmen berharap pemain industri di negeri ini supaya sentiasa patuh pada peraturan dan undang-undang yang termaktub di bawah Akta 520 LPIPM dan peraturan agensi lain bagi meningkatkan kualiti pembinaan.
“Ini termasuk berkaitan pendaftaran, levi, personal binaan, akreditasi dan bahan binaan melalui pematuhan standard dan pembangunan industri pembinaan supaya lebih mampan khususnya di Sabah,” katanya.
-Deasoka