
Beaufort: Terpancar kegembiraan wajah tiga beradik di Kampung Labi, di sini, yang sebelum ini terpaksa keluar dari rumah untuk mendapatkan liputan internet apabila menerima sumbangan alat peranti pemancar WiFi daripada seorang aktivis tempatan.
Difahamkan, sebelum ini penduduk di kampung itu terpaksa keluar dari rumah dan berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer serta menyeberang Sungai Padas untuk mendapatkan liputan internet.

Malah murid dan pelajar di kampung itu juga terpaksa membawa buku keluar dari rumah dan menyiapkan tugasan sekolah di lokasi yang ada akses internet.
Menurut aktivis tempatan, Adrian Edy Siaw Chee Hua, alat pemancar WiFi yang disumbangkannya itu bagi memudahkan tiga beradik serta murid dan pelajar di kampung berkenaan belajar tanpa perlu keluar dari rumah untuk mencari liputan internet.

“Saya gembira kerana dapat menyumbangkan sesuatu terutama membantu murid dan pelajar di sini dari segi pendidikan mereka.
“Memahami dengan keadaan pandemik ketika ini di mana semua murid memerlukan internet dan telefon pintar untuk belajar, saya terpanggil untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di Kampung Labi, di sini, semalam.

Sementara itu, Mazlieyana Razieyla Mat Lajim, 13, berkata mereka sudah tidak perlu lagi menyeberangi Sungai Padas untuk mendapatkan liputan internet bagi menyiapkan tugasan sekolah.
“Sejak Jumaat lalu, kami sudah dapat melayari internet dan membuka ‘link’ tugasan sekolah yang diberikan cikgu dengan adanya WiFi yang dipasang di rumah kami.

“Kami berterima kasih kepada abang Adrian Edy kerana menyediakan WiFi ini bagi memudahkan saya dan adik beradik serta sepupu mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” katanya.
Sementara itu, ibunya Suzianah Bidin, 33, bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu mereka sekeluarga terutama anak-anaknya dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
“Memang rangkaian internet di sini akan dinaik taraf tetapi saya difahamkan masih dalam proses. Jadi dengan adanya sumbangan WiFi ini, dapat membantu memudahkan anak-anak belajar,” katanya.
Suzianah bagaimanapun berkata, tiga beradik itu terpaksa bergantung dengan satu telefon pintar saja kerana dia dan suaminya belum mampu untuk membelikan mereka setiap seorang.
“Setakat ini, mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon pintar untuk menyiapkan tugasan sekolah atau melayari internet,” katanya.
Sehubungan itu, Suzianah berharap pihak kementerian berkaitan dapat membantu mereka sekeluarga memandangkan gajet ketika ini penting untuk memudahkan sesi pembelajaran anak-anak.
Tiga beradik yang masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Gadong itu juga terpaksa berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer dari rumah dan menaiki bot kira-kira lima minit untuk menyeberangi Sungai Padas sebelum menaiki kenderaan untuk ke sekolah.
-Deasoka