
Kota Kinabalu: Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) menekankan kepentingan kestabilan politik di peringkat persekutuan atau negeri sebagai elemen penting memastikan proses pemulihan ekonomi berada di landasan yang betul dan berkesan.
Presidennya, Tan Sri TC Goh, berkata kestabilan politik dapat melahirkan suasana yang ideal dalam aspek pelaburan, khususnya meningkatkan keyakinan pelabur untuk menanam modal di negeri ini.
Beliau berkata, kemasukan pelaburan penting dalam usaha menambah peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan dan memacu perkembangan industri hiliran serta bidang lain yang berkaitan, seterusnya membentuk satu ekologi yang kondusif untuk pembangunan sosioekonomi.
“Saya percaya bahawa rakyat jelata mempunyai hasrat yang tinggi, sama ada terhadap kerajaan atau pembangkang, agar dapat mengutamakan kebajikan rakyat dan bukannya pertelingkahan dan perang politik yang tidak sihat dan tidak membina.
“Kami menyeru agar ahli-ahli politik dapat memainkan watak masing-masing dan bekerjasama untuk memajukan Sabah dengan politik yang matang demi kesejahteraan dan kelangsungan pembangunan negeri Sabah,” katanya pada Majlis Resepsi Tahun Baharu Cina anjuran FCAS, di sini, baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, Goh berkata Sabah yang turut dikenali sebagai Negeri di Bawah Bayu mempunyai sejarah yang unik dengan penduduk berbilang kaum serta budaya, namun hidup harmoni, aman dan damai.
Katanya, selain Bumiputera, masyarakat Tionghua adalah etnik kedua terbesar dan turut sama menyumbang serta melakar sejarah tersendiri dalam pembangunan Sabah sejak sekian lama.
“Nenek moyang kaum Tionghua bermula di Sabah sejak ratusan tahun lalu telah menunjukkan bahawa masyarakatnya senantiasa berganding bahu dengan kaum lain tanpa mengira satu sama lain dalam proses pembangunan Sabah sehingga ke hari ini,” katanya.
Sejajar dengan sumbangan masyarakat berkenaan kepada pembangunan Sabah, Goh berkata beliau mewakili masyarakat Tionghua dan FCAS mengemukakan satu permintaan kepada Ketua Menteri agar memberi kelulusan sebidang tanah seluas kira-kira dua ekar untuk membina bangunan Wisma Tionghua Negeri Sabah.
Katanya, projek itu berpaksikan kepada usahasama melalui sokongan kerajaan negeri yang bersikap terbuka dengan kerjasama masyarakat Tionghua setempat yang kukuh.
“Sekiranya kerajaan negeri dapat merestui projek ini, ia dapat memaparkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap masyarakat Tionghua dan seterusnya menonjolkan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap pengorbanan dan sumbangan besar setiap etnik di Sabah, termasuklah komuniti kaum Tionghua.
“Saya selaku Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) dan FCAS memberi jaminan kepada YAB Ketua Menteri, sekiranya kerajaan Sabah setuju untuk meluluskan sebidang tanah untuk pembinaan Wisma Tionghua Negeri Sabah ini, pihak kami akan memikul tanggungjawab untuk merancang dan mengumpul dana pembangunan projek ini bagi merealisasikan hasrat besar ini dengan secepat mungkin,” katanya.
Jelasnya, FCAS yang berusia 28 tahun adalah badan bukan kerajaan (NGO) pimpinan tertinggi bagi 156 persatuan masyarakat Cina yang mewakili suara masyarakat Cina di Sabah.
Dalam pada itu, Goh berharap kedatangan Tahun Harimau mengikut kalendar Cina tahun ini membawa
semangat yang tinggi dan harapan baharu dalam semua bidang di Sabah ke arah pemulihan ekonomi era norma baharu.
Katanya, ia sejajar sifat harimau sebagai haiwan yang bertenaga, gagah, bertindak pantas dan berdaya kuat, selain bersifat teguh dan berprinsip keadilan.
-Deasoka