
Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mengekalkan keputusan menetapkan peperiksaan utama hanya diadakan pada Isnin hingga Khamis sebagai satu dasar.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau, berkata keputusan itu yang dilaksanakan pada tahun ini perlu diteruskan pada sesi persekolahan tahun depan dan seterusnya.
Beliau berkata, saranan itu juga sejajar dengan keputusan KPM mengekalkan takwim persekolahan pada 2023 yang bermula pada bulsn Mac.
“Merujuk kepada kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bahawa takwim persekolahan bagi 2023 yang dijadual bermula pada Mac tahun depan kekal, setelah mengambil kira pelbagai faktor.
“Antaranya berlaku banjir pada Disember yang dikhuatiri menyukarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di negeri pantai timur membuat persediaan menghadapi peperiksaan berikutan musim Monsun Timur Laut.
“Melihat kepada faktor yang diketengahkan itu, UPKO mahu KPM menetapkan bahawa peperiksaan hanya diadakan pada Isnin hingga Khamis sebagai dasar demi keutuhan falsafah pendidikan negara yang mengambil Kepatuhan Kepada Tuhan sebagai inti utama,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Tuaran itu berkata beliau berterima kasih atas keputusan KPM mengadakan peperiksaan SPM tahun ini hanya pada Isnin hingga khamis, namun ia perlu diteruskan setiap tahun sehingga menjadi sebuah dasar.
“Selain itu penyediaan jadual peperiksaan itu juga hendaklah memastikan agar prinsip nombor satu Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan dan Falsafah Pendidikan Negara iaitu Kepatuhan Kepada Tuhan terus menjadi sandaran dan panduan asas utama.
“Seperti yang kita sedia maklum, Jumaat adalah hari bagi seluruh penganut agama Islam menunaikan Solat Jumaat, manakala hari Sabtu adalah Sabbath-Day bagi rakyat yang beragama Seventh Day-Adventist (SDA) dan Gereja Yesus Benar (GYB), yang mana mereka akan pergi menjalani ibadah di gereja.
“Ahad pula adalah hari bagi umat Kristian yang ada di Malaysia seperti penganut Roman Katolik, Anglican, Basel dan beberapa lagi dominasi yang lain ke gereja,” katanya.
Katanya, jika peperiksaan SPM turut diadakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, ia melanggar kandungan paling utama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, selain tidak menjiwai makna di sebalik Falsafah Pendidikan Negara yang menggariskan Kepatuhan Kepada Tuhan.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang berpaksikan prinsip Rukun Negara sebagai tiang seri perlembagaan, perkara itu tidak seharusnya berlaku.
Berikutan itu, Madius memohon KPM agar lebih sensitif dalam perkara itu dan tidak membebankan pelajar dengan menjadualkan peperiksaan pada hujung minggu.
-Deasoka