
Kota Kinabalu: Konvensyen Pilihanraya Keadilan 2022 yang dihadiri hampir 4,000 jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan bahawa parti itu telah bersedia untuk ‘berperang’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin berkata, kehadiran jentera PKR yang melebihi sasaran itu adalah melibatkan ahli dari seluruh negara.

“Semalam Konvensyen Pilihanraya Keadilan 2022 telah melabuhkan tirai. Hampir 4,000 jentera hadir dari seluruh negara. Berbeza dengan program Keadilan sebelum ini, konvensyen kali ini lebih menyasarkan kehadiran jentera pilihan raya.
“Program yang cuma dirancang seminggu lalu melepasi sasaran kehadiran dan jelas membuktikan Keadilan telah bersiap sedia sekiranya pilihan raya dilangsungkan pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, program dimulakan oleh Pengarah Konvensyen terbabit, Manivanan Gowin dan terdapat seramai lima pembahas menyampaikan perbahasan masing-masing.
“Pembahasa itu ialah Azizan Salleh (Veteran Angkatan Tentera Malaysia), Fitriyati Bakri (Beliawanis/usahawan muda), Isaiah D Jacob (Orang Kelainan Upaya), Salbiah Halid (Usahawan Perusahan Kecil & sederhana) dan Ikmal Shahrin Zulkipli (graduan P-hailing).
“Pembahas ini bukanlah pimpinan parti tetapi mewakili suara rakyat bawahan yang ingin keluhan dan rintihan mereka diberi perhatian.
“Timbalan Presiden, Rafizi Ramli memulakan ucapannya dan Pengarah Pilihanraya dengan penuh bersemangat. Beliau menyampaikan amanat kepada semua jentera untuk bersiap sedia di kawasan masing-masing dalam tempoh sebulan.
“Kemudian program ditutup dengan penyerahan kit pilihan raya Keadilan kepada semua Pengerusi PKR negeri serta penyampaian amanat dari Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sehubungan itu, Razeef berkata, PKR mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat gagal memimpin negara.
“Gendang Pilihanraya telah dipalu dan Keadilan yakin mampu menumbangkan BN dan PN yang jelas gagal memimpin negara sejak menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.
“Keadilan juga yakin rakyat akan memberikan mandat kepada Keadilan dan PH bagi memulihkan kerosakan yang telah dibuat oleh kerajaan yang mendapat mandat melalui pintu belakang,” katanya.
-Deasoka