
Kota Kinabalu: Ibu bapa diberi pilihan sama ada mengambil vaksin jenis Pfizer atau Sinovac untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, bermula esok.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata ia selepas kerajaan meluluskan penggunaan Corona Vac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell) keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd, China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd, Malaysia untuk kanak-kanak.
Katanya, kelulusan itu dibuat pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang ke-370 pada 3 Mac lalu, menjadikan CoronaVac sebagai vaksin kedua yang diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
“Sehubungan itu, kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty (Pfizer) atas sebab kesihatan akan ditawarkan vaksin CoronaVac oleh petugas kesihatan.
“Selain itu, ibu bapa juga diberi pilihan untuk memberikan vaksin CoronaVac kepada anak mereka sekiranya mereka tidak bersetuju untuk menggunakan vaksin Comirnaty.
“Sekiranya terdapat pertanyaan, ibu bapa dialu-alukan untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut daripada petugas kesihatan yang bertugas,” katanya.
Beliau berkata, vaksin CoronaVac hanya boleh diberi apabila kanak-kanak mencapai usia lima tahun pada tarikh lahir.
Katanya, bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin CoronaVac dengan selang masa empat minggu perlu diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.
“Mulai 7 Mac 2022, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula menawarkan vaksin CoronaVac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terpilih. Ibu bapa boleh menyemak senarai nama serta waktu operasi PPV yang menawarkan CoronaVac secara walk-in di laman web KKM dan PHCorp yang diumumkan sebelum ini.
“Selain itu, ibu bapa yang mendaftarkan anak dalam aplikasi MySejahtera pula akan menerima pautan kepada tempahan janji temu vaksinasi anak mereka.
“Sukacita juga dimaklumkan penawaran vaksin CoronaVac di PPV yang dikendalikan oleh KKM dan PHCorp dibawah PICKids adalah percuma.
“Selain program PICKids, terdapat juga klinik dan hospital swasta yang menawarkan vaksin CoronaVac kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun dengan bayaran,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, kerajaan meluluskan vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech) formulari kanak-kanak berlandaskan data keberkesanan dan keselamatan vaksin melalui kajian klinikal dan Real World Data.
Vaksin Comirnaty formulari kanak kanak adalah vaksin yang diberi keutamaan dalam PICKids yang diberikan ketika ini.
Noor Azmi berkata, berdasarkan data dalam COVIDNOW sehingga 5 Mac 2022, jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menunjukkan peningkatan ketara dengan seramai 123,053 orang disahkan positif virus itu sejak Januari lalu.
Katanya, terdapat juga kes yang memerlukan rawatan di hospital termasuk rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU).
-Deasoka