
Kota Kinabalu: Tindakan pihak yang mempersoalkan keupayaan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha melahirkan graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dilihat seperti mempertikaikan kemampuan mahasiswa dan pensyarah di universiti itu sendiri.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata, beliau tidak jelas kenapa isu kemampuan UPM melahirkan 398 graduan PhD dipersoalkan.
“Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Keadilan, Shamsul Iskandar Akin yang mempersoalkan kemampuan UPM melahirkan 400 graduan PhD dalam tempoh setahun.
“Tindakan ini seolah-olah mempertikai kemampuan graduan itu sendiri yang selama ini berusaha keras untuk mencapai cita-cita memiliki PhD,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Katanya lagi, jika diteliti menerusi rekod lalu, jumlah graduan PhD UPM pada 2018 adalah seramai 630 orang manakala pada 2019 terdapat 632 graduan.
“Namun, konvokesyen baru-baru ini walaupun untuk pengajian tamat 2020 dan 2021 yang terbantut akibat pandemik Covid-19, hanya 398 sahaja graduan yang lulus.
“Beliau juga merujuk kepada universiti terbaik luar negara yang didakwa hanya mampu melahirkan 20 graduan PhD setahun.
“Pada tahun 2021, Harvard University menganugerahkan 572 PhD dan itu hanya di fakulti Sains Seni. Ini tidak termasuk fakulti lain termasuk 594 ‘Doctor Of Law’ dan lain-lain fakulti.
“Selain itu Stanford University menganugerahkan 770 Ijazah Kedoktoran pada 2020 dan Massachusetts Institut Of Technology (MIT) menganugerahkan sehingga 682 PhD setahun.
“Begitu juga beberapa Universiti tempatan dan mengikut rekod pada tahun 2018 Universiti Malaya (503), Universiti Sains Malaysia (528), Universiti Kebangsaan Malaysia (530), Universiti Teknologi Malaysia (510) dan Universiti Utara Malaysia (341),” katanya.
Razeef berkata, beliau dimaklumkan terdapat 1,791 pensyarah di UPM yang mana 1,649 daripadanya memiliki PhD.
“Jadi adalah lebih baik jika Shamsul lebih memikirkan bagaimana membantu 75 peratus pensyarah yang memiliki PhD di UPM yang masih gagal mencapai Prestasi Utama (KPI) untuk melahirkan seorang graduan PhD setahun.
“Apakah niat sebenar Shamsul mempersoalkan jumlah graduan PhD UPM ketika negara cuba mencapai lebih ramai graduan PhD pada 2025,” katanya.
Sehubungan itu, Razeef menasihatkan Shamsul supaya tidak menjadikan perkara itu sebagai isu sebaliknya mencari isu berkaitan masalah yang dihadapi rakyat.
“Saya ingin menasihatkan Shamsul jika ingin menjadi jaguh isu, carilah isu yang berkaitan masalah kepada rakyat dan negara hari ini.
“Mempersoal kemampuan UPM melahirkan 400 graduan PhD setahun seolah mempertikai kemampuan mahasiswa itu sendiri yang berusaha untuk mendapatkan PhD serta mempertikai kemampuan pensyarah termasuk universiti berkenaan,” katanya.
-Deasoka