Tangguh pengharaman eksport, cadangan cukai besi buruk

Tangguh pengharaman eksport, cadangan cukai besi buruk

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri digesa menangguhkan pengharaman eksport dan cadangan melaksanakan cukai eksport besi buruk selain diminta melakukan kajian keberkesanan berhubung perkara itu.

Presiden Pertubuhan Kitar Semula Logam Sabah (SSMRA), Edwin Chen mendakwa dasar yang dilaksanakan itu tidak adil kepada semua pemain industi berkenaan.

Edwin Chen

“Kami sebagai pengedar dan pengumpul besi sekerap kini berada di bawah naungan kerajaan dan pihak berkepentingan.

“Sudah hampir tujuh bulan sejak pengharaman eksport diumumkan namun pengharaman dan cukai yang dicadangkan tidak mewujudkan kesan seperti yang kehendaki kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Lambakan stok besi buruk di pekarangan kilang yang terpaksa ditanggung pengusaha industri besi buruk di Sabah.

Tambah Edwin lagi, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa pengharaman eksport besi buruk tidak memenuhi tujuannya untuk menurunkan harga besi keluli.

“Timbunan stok besi buruk yang banyak di halaman kilang kami menunjukkan bahawa kilang keluli tempatan tidak pernah menghadapi masalah kekurangan bahan mentah kerana ia tidak dapat menyerap semua besi buruk keluaran tempatan.

“Ia juga telah membawa kepada manipulasi harga yang tidak sihat dalam pasaran besi buruk oleh kilang keluli,” katanya.

Sehubungan itu, Edwin berharap, kerajaan dapat menangguhkan perkara itu dan sekali gus memberi kelegaan kepada peniaga sekerap tempatan yang terpaksa menanggung beban menyimpan stok yang banyak di pekarangan kilang.

“Stok semasa yang disimpan oleh ahli kami dianggarkan 40,000 tan dan banyak ahli yang memaklumkan kepada kami bahawa mereka kekurangan wang tunai dan tidak lama lagi terpaksa berhenti membeli besi buruk daripada pasaran.

“Ini pasti akan menimbulkan huru hara dalam industri kami. Semua peniaga dan pemungut besi buruk perlu mengumpul sejumlah besi buruk untuk bertahan dan pulangan modal setiap bulan.

“Ramai peniaga dan pemungut besi buruk tidak akan dapat mencari rezeki jika mereka terpaksa hentikan operasi.

“Kami merayu kepada kerajaan negeri supaya berlaku adil dan mempertimbangkan kebajikan dan manfaat semua pemain industri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|