
Kota Kinabalu: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri digesa supaya melipatgandakan usaha untuk mencapai sasaran membayar sekurang-kurangnya RM1 juta dividen kepada kerajaan negeri bermula tahun ini.
Ketika menyuarakan gesaan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah memiliki lebih 200 GLC dan badan berkanun tetapi hanya lebih 10 syarikat sudah membayar dividen setakat ini.
“Masih ada yang belum membayar, jadi ketika tempoh saya menjadi Ketua Menteri, saya menetapkan semua GLC mesti membayar sekurang-kurangnya RM1 juta dividen setiap tahun.
“Saya mahu GLC melaksanakan tanggungjawab mereka membayar dividen yang baik untuk digunakan bagi manfaat rakyat dan negeri.
“Sesiapa yang diamanahkan untuk memimpin dan mengurus GLC mesti melaksanakan tugas masing-masing,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah Sabah Softwoods Berhad di Menara Kinabalu, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Softwoods Berhad yang baharu, Mohd Daud Tampokong.
Tahun lalu, kerajaan negeri menerima sebanyak RM114 juta dividen yang dibayar oleh GLC dan badan berkanun negeri, membabitkan 12.9 peratus kenaikan berbanding bayaran diterima pada 2020.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata peranan kepemimpinan penting dalam melakar tindakan yang akan menjadi penentu laluan ke arah kejayaan.
“Kerajaan negeri yakin bahawa dengan sasaran yang ditetapkan, kita perlu meneroka sumber hasil baharu termasuk inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata pengeluar minyak sawit mentah (CPO), khususnya di Sabah perlu bersedia untuk berdepan dengan situasi buruk berikutan keadaan ekonomi global yang tidak menentu disebabkan konflik Russia-Ukraine.
Katanya, penganalisis pasaran menjangkakan peladang di negara ini menikmati pulangan yang besar dalam jangka panjang kerana dapat menjual CPO dengan harga yang tinggi, yang mana sepatutnya diterjemahkan kepada margin keuntungan yang tinggi pada suku kedua tahun ini.
“Harga semasa CPO yang baik memberi kelebihan dan rezeki kepada kita. Bagaimanapun, kita tidak boleh leka apabila harga baik, kita perlu beringat dan mengurus kenaikan kos secara berhemah seperti pengangkutan, bahan api, buruh dan lain-lain kos barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa tindakan sedang diambil untuk menjana semula pertumbuhan ekonomi Sabah ketika fasa peralihan ke endemik Covid-19.
Jelasnya, kerajaan sedang berusaha untuk memastikan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) terus dilaksanakan tanpa halangan.
-Deasoka