
Kota Kinabalu: Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah digesa perlu menguasai kemahiran menggunakan media sosial bagi membantu menjelaskan tujuan dan dasar perjuangan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan lebih mudah dan diyakini oleh rakyat.
Ketua Penerangannya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia agak mustahil untuk membuat perhimpunan, mengadakan mesyuarat dan berbincang seperti dulu lagi.

Katanya, untuk mengadakan program bersemuka ketika ini dianggap sebagai cabaran yang perlu dihadapi dan mereka harus mencari jalan supaya aktiviti memberi penerangan kepada rakyat tidak terjejas.
“Justeru, media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Facebook, Instagram, WeeChat mengambil alih peranan kempen mahupun penerangan kepada masyarakat di peringkat akar umbi ini termasuk memberi penerangan mengenai isu-isu semasa mahu pun menjawab dakyah-dakyah pembangkang.

“Oleh itu, saya mengharapkan Ketua-ketua Penerangan Bahagian seluruh Sabah perlu mengambil peranan masing-masing dalam dunia media sosial,” katanya selepas mengadakan jelajah Zon 3 Bahagian BERSATU Sipitang dan Beaufort, semalam.
Jelajah itu diketuai Bendahari BERSATU Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan turut disertai Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Razali Bob Razi; Pengarah Strategi dan Pilihanraya, Datuk Japlin Akim; Ketua BERSATU Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih dan Ketua Bahagian BERSATU Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Tambah beliau lagi, pemimpin bukan hanya perlu memberi penerangan tetapi harus mempertahankan kerajaan PN supaya terus memerintah negara ini.
“Pertahankan kerajaan PN agar terus memerintah dan pertahankan kerajaan GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Sabah,” tegasnya.
Firdaus yang juga Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi turut berkata, Ketua Penerangan perlu bersikap proaktif dalam media sosial kerana sejarah telah membuktikan bahawa kuasa media sosial amat berpengaruh dalam menentukan tahap sokongan rakyat.
“Dalam sekelip mata sesebuah kerajaan boleh runtuh hanya disebabkan kegagalan kita dalam menangkis dakyah-dakyah pembangkang di media sosial.
“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang pastinya medan tempur yang paling sengit bagi kita. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab paling besar dalam memastikan kemenangan kepada PN,” katanya.
-Deasoka