
KUALA LUMPUR, 02 Ogos 2020 - Penganalisis politik/Pensyarah Kanan Komunikasi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Madya. Dr Lee Kuok Tiung Pemberita Fadzli
Kota Kinabalu: Pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah kerjasama politik rasmi di Sabah akan menjadikan gabungan yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (PRN-16) itu lebih ‘glamor’.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata secara tidak langsung ia akan menarik lebih ramai pemimpin dan parti politik untuk menyertai gabungan berkenaan.
Katanya, luahan hasrat pemimpin atau parti politik untuk menyokong atau mahu menyertai GRS adalah satu pengesahan bahawa gabungan berkenaan adalah sebuah badan politik yang praktikal dan nyata.
Beliau berkata, sehubungan itu tiada salahnya untuk GRS menerima ahli baharu sama ada pemimpin atau parti politik ke dalam gabungan itu memandangkan ia akan menguatkan lagi kedudukannya sebagai tunjang kerajaan di Sabah.
“Kelulusan pendaftaran GRS oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) hanya akan menjadikan GRS lebih glamor dan saya menjangkakan lebih ramai pemimpin dan parti politik ingin memohon menyertai GRS.
“Luahan hasrat mana-mana ahli politik atau parti untuk menyertai GRS harus diterima baik kerana itu secara tidak langsung merupakan suatu pengesahan kepada praktikal dan realis GRS tersebut.
“Menerusi muafakat kerjasama dalam GRS selama ini saya percaya sebarang keputusan untuk menerima atau menolak setiap permohonan akan diputuskan secara kolektif (bersama-sama) oleh semua parti komponen GRS sedia ada,” katanya.
Penganalisis politik Sabah itu juga berpendapat GRS tidak perlu menolak mana-mana pihak yang berminat menyertai gabungan berkenaan kerana khuatir akan dilihat ego.
Sebaliknya, beliau berkata setiap permohonan untuk menyertai gabungan berkenaan hendaklah diberikan suatu tempoh pemerhatian sebelum diputuskan dalam kesepakatan bersama kepemimpinan GRS.
“Sambil itu setiap pemohon itu perlu menyedari kedudukan (diri mereka) dan situasinya untuk mengelakkan sebarang kacau-bilau dan mereka pasti tiada kerugian apa-apa ketika dikenali sebagai parti mesra GRS sementara dalam tempoh pemerhatian,” katanya.
Beliau turut meramalkan lebih ramai wakil rakyat pembangkang di Sabah mungkin menyertai GRS selepas pendaftarannya selesai sejajar dengan kedudukan baharunya yang dilihat lebih kukuh dan meyakinkan.
Katanya, parti baharu yang memohon untuk menyertai GRS mungkin dijadikan tempat tumpangan sementara sebelum wakil rakyat terbabit secara rasmi menjadi sebahagian daripada pasukan besar GRS.
“Saya pasti akan lebih ramai ADUN daripada pembangkang akan memohon menyertai GRS selepas ini. Parti-parti yang baharu memohon menyertai GRS boleh menjadi ‘tempat tumpangan’ sementara waktu kepada ADUN yang ingin bekerjasama dengan GRS,” katanya.
Sebelum ini, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pimpinan bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony adalah antara parti politik baharu yang menyatakan hasrat untuk menyertai GRS.
Esok, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS dijadual melancarkan parti KDM dan mungkin akan membuat pengumuman berhubung hasrat Peter yang mahu menyertai GRS.
Ketika ini GRS dibentuk menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
PN Sabah terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS.
Sementara itu, BN Sabah pula dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Sebelum ini, Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan permohonan untuk mendaftarkan GRS sudah dihantar kepada RoS.
-Deasoka