
Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan mengukuhkan lagi pengoperasian dan kawalan keselamatan supaya lebih efektif melalui kerjasama strategik antara agensi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di Sabah.
Menurut satu kenyataan hari ini, perkara itu adalah antara intipati perbincangan ketika sesi kunjungan hormat terhadap Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad oleh Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah; Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad dan Panglima 13 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Suhaimi Shamsudin di pejabat ESSCOM Lahad Datu, hari ini.

Kunjungan hormat itu bukan saja mengeratkan hubungan silaturahim dan hubungan sesama agensi tetapi juga sebagai sesi perbincangan meliputi perancangan dalam aspek atur gerak operasi dan logistik serta perkongsian idea bagi meningkatkan keupayaan semua agensi keselamaan yang beroperasi di pantai timur Sabah.
Di samping itu, cadangan pelaksanaan operasi gabungan dan latihan bersama melibatkan pasukan khas antara agensi dalam kawasan ESSZONE turut dibincangkan.
Sebelum itu, delegasi turut diberikan taklimat perisikan berhubung perkembangan situasi keselamatan di pantai timur Sabah.
Hadir sama dalam sesi kunjungan hormat itu ialah Ketua-Ketua Staf ESSCom dan pegawai kanan daripada agensi yang terlibat.
-Deasoka