
Tawau: Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negeri ini berjaya dipatahkan pasukan OP Cegah Pati (OCP) Daratan Sektor Selatan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam operasi di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, tengah malam tadi.
Dalam insiden jam 12.05 tengah malam itu, operasi dijalankan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan ATB2 hari ini berkata, pasukan OCP menjalankan operasi pemantauan hasil maklumat risikan berkaitan kemasukan PATI ke daerah ini.
Katanya, semasa melaksanakan pemantauan, pasukan operasi berjaya mengesan sebuah bot laju yang dipercayai membawa enam PATI yang cuba mendarat di pesisir pantai kampung berkenaan.

“Pasukan operasi kemudiannya berjaya membuat penangkapan semua suspek bersama seorang ejen daratan yang diupah untuk membawa PATI yang berasal dari kepulauan Sulawesi, Indonesia terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati ejen daratan terbabit adalah warganegara Filipina berusia 19 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua enam PATI terbabit juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.
Katanya, mereka terdiri daripada tiga lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak berusia sembilan hingga 46 tahun.
“Mereka dimaklumkan menaiki bot yang sudah diaturkan ejen ke Tawau, sebelum diambil ejen lain untuk terus dihantar ke destinasi ditetapkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
“Semua suspek kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota-anggota yang bertugas di POWB ATB 2, Tim OCP Daratan, PGA Bn-14 Tawau dan IPD Tawau atas kejayaan gabungan kerjasama serta sokongan pelaksanaan operasi ini.
Katanya, kejayaan ini membuktikan pasukan keselamatan yang terdiri daripada pelbagai agensi sentiasa komited terhadap kawalan keselamatan persempadanan negara.
“Sempadan negara sentiasa dikawal dan ditangani secara serius dalam mengekang jenayah rentas sempadan serta sebarang ancaman keselamatan demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, khasnya di Pantai Timur Sabah,” tegasnya.
-Deasoka