Polis Sabah siap siaga hadapi sebarang pencerobohan

Polis Sabah siap siaga hadapi sebarang pencerobohan

Putatan: Polis Sabah sentiasa berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi menangani apa juga bentuk pencerobohan atau ancaman ke negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya tidak memandang ringan mengenai maklumat yang diterima termasuk dakwaan kehadiran sekumpulan lelaki warga asing yang menyusup ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika ditemui media.

“Walaupun setakat ini kita mendapati bahawa tiada petunjuk berhubung perkara itu namun kita tidak memandang ringan maklumat yang kita dapat.

“Kita sebenarnya sentiasa bersiap siaga bukan kerana maklumat ini sahaja tetapi sebelum ini pun kita berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi mengatasi apa juga bentuk pencerobohan atau ancaman ke atas keselamatan dan kedaulatan negara kita,” katanya kepada media selepas hadir pada Op Selamat 17 Sempena Tahun Baru Cina 2022, di Jalan Meruntum, di sini, hari ini.

Jauteh membuat pemeriksaan di sekatan jalan sempena Op Selamat 17 Sempena Tahun Baru Cina 2022 di Jalan Meruntum, Putatan.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung perkembangan pemantauan keselamatan di kawasan Tambisan, selepas dakwaan itu dilaporkan media pada Khamis lalu.

Diminta mengulas lanjut, Jauteh memaklumkan setakat ini pihak polis sudah menerima laporan daripada individu yang mendakwa kehadiran sekumpulan warga asing berkenaan.

“Ada laporan polis dibuat di Lahad Datu.

“Sehingga setakat ini, kita masih melakukan ‘follow up’, risikan dan siasatan sejauh mana maklumat ini sahih atau sebaliknya,” katanya.

Semalam, polis Sabah mengesahkan tiada sebarang petunjuk berhubung dakwaan yang dilaporkan media sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|