
KOTA KINABALU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak bercadang untuk menjadikan Beaufort sebagai pusat AADK di pantai barat selatan negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kesukaran bagi membendung penyalahgunaan dadah yang dialami masyarakat khususunya di Beaufort.
“AADK tidak mempunyai cadangan untuk menjadikan daerah Beaufort sebagai pusat AADK di Pantai Barat Selatan buat masa ini.
“Bagaimanapun pengurusan AADK bagi daerah Beaufort dan sekitarnya pada masa ini masih lagi menggunakan petugas dari Wilayah Persekutuan Labuan.
“Langkah ini bersifat sementara sahaja sehingga masalah penjawatan untuk kakitangan AADK dapat diselesaikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia dalam masa terdekat,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ruslan Muharam (PBS – Lumadan) ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Sementara itu, berhubung cadangan yang dikemukakan Justin Wong (Bebas – Sri Tanjong) berhubung pemeriksaan kesihatan di pelabuhan dan lapangan terbang, Shahelmey Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah berbincang dengan pihak berkaitan.
“JKNS di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berbincang dan seterusnya bekerjasama dengan pihak pengendali (Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)/ Sabah Ports and Harbours Department) bagi pemeriksaan semasa ketibaan dengan melantik makmal swasta untuk menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan Covid-19,” katanya.
-Deasoka