
Kota Kinabalu: Hanya mangsa warga tempatan dan menetap di kediaman atas tanah sendiri saja yang layak menerima bantuan bencana kecil di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) negeri.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, itu kriteria yang ditetapkan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana kecil di negeri ini.
“Bagi kes-kes bencana kecil seperti rumah rosak disebabkan tanah runtuh, banjir dan kebakaran, kita ada bantuan sama ada bahan binaan untuk membaiki kerosakan yang ada atau terus memberi tunai sebanyak RM2,000 kepada mangsa yang terlibat.
“Tetapi syaratnya, mangsa adalah seorang warga negara dan mendiami rumah yang dimiliki atas tanah sendiri, sekiranya setinggan itu tidaklah masuk dalam kriteria bantuan di bawah JKPA,” jelasnya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas memberi peluang kepada Norazlinah Arif (Kunak-WARISAN) yang mencelah untuk mencadangkan supaya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi kelonggaran bantuan wang tunai kepada mangsa yang terjejas dalam bencana.
Sementara itu, berhubung bantuan JKM yang tidak disambung kepada penerima bantuan jabatan terbabit, Shahelmey berkata, bantuan itu harus diperbaharui setiap tahun dengan memastikan kriteria yang ditetapkan dipatuhi.
“Memang ada kes yang berlaku di mana selepas tamat tahun bagi penerima dan bagi tahun seterusnya kriteria sudah berubah mungkin anak sudah bekerja pada tahun itu dan menerima gaji yang agak baik maka penerima akan terkeluar.
“Jadi saya nasihatkan kepada penerima bantuan kebajikan supaya berhubung dengan pegawai di daerah masing-masing untuk tujuan mengemaskini maklumat peribadi untuk memastikan mereka masih terus layak menerima bantuan kebajian tersebut,” katanya memberi penjelasan kepada Datuk Ewon Benedick (Kadamaian-UPKO).
-Deasoka