
Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) menyampaikan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung keputusan Kabinet negeri mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada hanya dua penggal.
ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew dalam kenyataan selepas mengetuai PH Sabah pada pertemuan di pejabat Ketua Menteri di DUN Sabah hari ini, berkata had tempoh lantikan itu adalah antara agenda reform Sabah yang dikemukakan sebelum ini.
“Hari ini DUN dimaklumkan bahawa Kabinet negeri bersetuju secara prinsipnya berhubung cadangan mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja. Pindaan perlembagaan negeri ini akan dibentangkan pada Persidangan DUN akan datang jika mendapat sokongan daripada semua ADUN.
“Justeru, saya bersama-sama dengan ADUN-ADUN PH Sabah mengadakan kunjungan kepada Ketua Menteri hari ini untuk menyatakan sokongan kami terhadap keputusan Kerajaan negeri itu,” katanya.
Turut sama dalam kunjungan itu ialah Pengerusi DAP Sabah yang juga ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon; ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan ADUN Likas, Tan Lee Fatt.
Pagi tadi, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir menyatakan persetujuan Kabinet negeri untuk mengehadkan tempoh pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal.
-Deasoka