
Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam memenangi jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera bukan Islam pada pemilihan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berlangsung semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu mendapat 339 undi menewaskan pencabarnya, Datuk Joniston Bangkuai dengan perbezaan lima undi, manakala sebanyak 65 undi rosak.
Berikutan itu, Dr Joachim berpotensi sebagai calon pengganti Presiden PBS selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengundur diri dalam tempoh tiga tahun lagi.
Maximus yang mengekalkan jawatan presiden sebelum ini menyatakan akan mengundur diri dalam tempoh tiga tahun bagi memberi masa kepada bakal penggantinya mempersiapkan diri untuk menggantikan tempatnya.
Sementara itu jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Islam, penyandangnya, Datuk Jahid Jahim yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah mengekalkan kedudukan tanpa bertanding.
Satu lagi kuota iaitu bukan Bumiputera dimenangi bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai selepas mengalahkan Datuk Edward Yong Oui Fah.
Pemilihan PBS yang berlangsung sehingga lewat malam tadi menyaksikan lima jawatan Naib Presiden dimenangi muka baharu antaranya ADUN Lumadan, Ruslan Muharam; ADUN Tandek, Hendrus Anding dan Ketua Bahagian PBS Limbahau, Datuk Johnny Mositun.
Dua lagi ialah Arthur Sen dan Mursid Mohd Rais.
Seramai 16 Ahli Majlis Tertinggi PBS yang baharu turut dipilih pada pemilihan itu.
Secara keseluruhan, seramai 164 orang bertanding merebut pelbagai jawatan parti termasuk dalam pergerakan Pemuda dan Wanita dalam pemilihan PBS kali ini.
Sementara itu, Joniston yang juga ADUN Kiulu dilantik semula sebagai Ketua Penerangan PBS, manakala jawatan Setiausaha Agung diambil alih Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.
-Deasoka