
Kota Kinabalu: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun menyokong penuh usaha mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti politik yang rasmi.
Katanya, usaha itu bukan sahaja boleh menstabilkan politik dan kerajaan Sabah tetapi juga mampu melonjakkan lagi perkembangan ekonomi dan kemajuan negeri ini.
“Kita kena faham bahawa untuk menarik pelabur luar ke Sabah, satu faktor paling penting ialah kestabilan kerajaan itu sendiri. Jika adanya pembentukan GRS secara sah dan rasmi maka kita yakin pelabur luar akan lebih mudah masuk ke negeri ini.
“Keadaan itu secara langsung mampu meningkatkan pendapatan serta kemajuan ekonomi di Sabah sekali gus membolehkan kita menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun bahawa mesyuarat secara tidak rasmi telah pun membincangkan mengenai usaha ke arah itu.
Mengulas lanjut, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berharap, usaha mendaftarkan sebagai satu gabungan rasmi dan sah dipercepatkan bagi membolehkan diwujudkan gerak kerja lebih tersusun dalam menyelesaikan sesuatu isu atau melaksanakan perancangan pembangunan rakyat.
“Kita berharap dengan adanya GRS yang sah bukan sahaja melancarkan gerak kerja kerajaan tetapi juga gerak kerja parti yang akan bekerja mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
“Kita mahu gabungan ini menjadi satu gabungan yang kuat dan erat bekerja demi Sabah. Masa depan rakyat Sabah bergantung kepada kerajaan yang kuat dan stabil. Itu yang menjadi asas kepada kelancaran pentadbiran dan pembangunan rakyat,” katanya.
GRS dibentuk sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 dan dianggotai oleh komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta komponen Perikanan Nasional (PN) iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), BERSATU manakala Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai tanpa gabungan.
-Deasoka