
Sandakan: Kehadiran individu positif Covid-19 ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih, di sini, meningkat sejak kebelakangan ini, susulan lonjakan kes Covid-19 di daerah ini.
Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, setakat ini kira-kira 60 hingga 100 pesakit hadir ke CAC itu dalam sehari berbanding hanya 10 hingga 15 individu pada November dan Disember lalu.

“Hari ini kes menaik tinggi dan kita ada lebih kurang 330 orang yang aktif sedang kita jalankan pemantauan di CAC ini dan daripada jumlah itu, kita ada 90 orang yang menggunakan kaedah ‘virtual’ sama ada video ataupun dengan panggilan.
“Mereka yang datang ke sini pula sudah ada 240 orang buat masa sekarang, jadi jumlah sejak Ogos sehingga sekarang, kumulatif yang dipantau di rumah seramai 5,441 orang dan yang sudah sembuh atau discaj seramai 5,081 orang untuk daerah Sandakan,” katanya ketika ditemui di CAC PPR Batu Putih, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan individu positif Covid-19 yang hadir ke CAC berkenaan berada dalam Kategori 1 dan 2.
Jelasnya, selepas diperiksa, individu terbabit akan didaftarkan dan diberikan gelang sebelum diminta menjalani kuarantin di rumah.
Katanya, pihaknya turut melakukan pemantauan setiap hari terhadap individu terbabit secara panggilan video, panggilan telefon atau melalui sistem e-Covid.
“Mereka yang datang ke sini pertama kali, kita akan membuat pendaftaran dan pemeriksaan fizikal, kemudian diberi kaunseling.
“Mereka ini akan dibenarkan untuk dikuarantin di rumah dan dipantau setiap hari oleh pasukan saya yang berada di sini lebih kurang dalam 10 orang dengan diketuai oleh Pakar Perubatan Keluarga dan dua orang Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan serta Pembantu Perawatan Kesihatan.
“Staf kita juga bersama dengan sukarelawan dan kita ada anggota RELA yang membantu kita di sini. Jadi, bila kita buat pemantauan setiap hari kita buat panggilan untuk virtual dan minta mereka yang mampu untuk memberitahu keadaan semasa mereka dalam e-covid,” katanya.
Dr Johari berkata, susulan peningkatan kehadiran individu positif ke CAC itu, pihaknya terpaksa membuka pusat berkenaan dari pagi hingga ke petang berbanding sebelum ini hanya pada sebelah pagi.
Dearah Sandakan merekodkan sebanyak 230 kes baharu Covid-19 hari ini, iaitu yang tertinggi berbanding 26 daerah lain di seluruh negeri.
-Deasoka