
Kota Kinabalu: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan peningkatan kes Covid-19 ketika ini bukan satu konspirasi untuk menghalang orang ramai balik berhari raya tahun ini.
Sebaliknya, beliau berkata peningkatan mendadak kes sejak kebelakangan ini disebabkan gelombang varian Omicron yang turut merebak di beberapa negara lain.
“Ini bukan konspirasi KJ untuk menafikan Hari Raya lagi. Namun, semua negarapun kena,” katanya pada sidang media mengenai situasi semasa Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Malaysia hari ini merekodkan sebanyak 11,034 kes berbanding 10,089 semalam, melebihi paras 10,000 kes selepas beberapa bulan berada pada paras empat angka.
Khairy berkata, negara jiran, Singapura turut merekodkan angka jangkitan yang tinggi dengan sebanyak 13,208 kes pada 4 Februari iaitu tiga kali ganda berbanding sebelumnya.
“Pada 5 Februari, Korea pula melaporkan kes harian Covid-19 sebanyak 38,670 kes, Indonesia (33,729 kes), Thailand (10,879 kes), Filipina (7,469 kes), Australia (22,985 kes) dan Jepun (102,275 kes,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi gelombang terbaharu ini, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF).
Khairy berkata, RRTF adalah jawatankuasa khas yang akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan antaranya menambah katil dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan menyumberluaran pesakit ke hospital swasta.
“RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) yang akan membuat pelaporan terus kepada Menteri Kesihatan,” katanya.
-Deasoka