
Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik sempena pengumuman naik taraf Kolej Jesselton kepada Kolej Unversiti Jesselton (JUC) pada konvokesyen pertama kolej itu, di sini, semalam.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kajian dasar dan Analisis) Fakulti Sains Politik Unversiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima anugerah itu daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad yang merasmikan majlis konvokesyen JUC.

Ijazah kehormat berkenaan dianugerahkan kepada Bung Moktar atas jasa bakti dan sumbangannya dalam bidang politik, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan di negeri ini.
Selain Bung Moktar, turut menerima anugerah yang sama ialah Ahli Dewan Negara yang juga Pengarah Asia Coding Centre Sdn Bhd, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah.

Turut menyaksikan majlis penganugerahan itu ialah Naib Censelor JUC, Prof Dr Siti Aminah Berhan dan Timbalan Naib Canselor JUC, Prof Datin Dr Noor Hamizah Hanifah.
Kolej Jesselton dinaik taraf kepada JUC setelah menerima kelulusan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang diserahkan kepada penasihat korporat Kolej Jesselton, Prof Noor Hamizah, baru-baru ini.

Ditubuhkan pada 10 Oktober 1988, peningkatan taraf kepada universiti kolej adalah bukti komitmen institusi itu dalam menyediakan pendidikan tinggi yang cemerlang dan berkualiti kepada pelajar dari seluruh Asia.
Institusi itu menunjukkan rekod prestasi yang cemerlang dan terbukti yang telah meluaskan jejaknya ke jangkauan global.

Selain sebagai institusi pengajian tinggi yang diiktiraf sejak sekian lama di Malaysia, ia juga telah menjejakkan kakinya di beberapa negara di seluruh dunia.
JUC ialah institusi bertauliah ASIC, UK, pusat berlesen OTHM, UK, dan ahli AHEA, AS.
Menurut Presiden JUC, Prof Dr Datuk Chin Yuk Fong, sejarah institusi itu juga menandakan bahawa Kolej Universiti Jesselton adalah kolej tempatan pertama yang dinaik taraf di Sabah.
“Rakyat Sabah kini dapat menikmati peluang yang lebih luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi hasil daripada peningkatan ini,” katanya
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengajian Tinggi kerana memberi kepercayaan kepada institusi itu dalam membangunkan industri pengajian tinggi swasta Sabah dan berikrar untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, negeri dan negara dengan membangunkan lebih ramai bakat yang menyumbang kepada pembangunan pelbagai industri di negara ini.
Sementara itu, Bung Moktar ketika ditemui selepas upacara itu berkata, beliau sangat berbesar hati di atas pengiktirafan berkenaan dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan JUC dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan
“Inilah kali pertama saya mendapat anugerah seperti ini dan saya akan melihat bagaimana saya boleh gunakan pengalaman saya dalam bidang politik ini untuk membantu pihak universiti pada masa akan datang,” katanya.
Pada majlis itu seramai 70 orang graduan menerima skrol masing-masing yang disampaikan oleh Senator Datuk Arman Azha Abu Bakar dan Bung Moktar.
-Deasoka