
Kinabatangan: Penduduk di Kampung Suan Lamba, di sini, meminta supaya parit di kampung itu dibesarkan lagi bagi mengelak air melimpah jika hujan berterusan sehingga menyebabkan banjir kilat.
Menurut penduduk, Ugis Andoh, 50-an, masalah itu sudah dihadapi sejak sekian lama dan menyebabkan mereka terpaksa berhadapan masalah banjir kilat.

“Kalau boleh, kami penduduk di sini mahu pihak berkaitan dapat membesarkan atau dalamkan parit di kampung ini.
“Sudah 11 tahun saya menetap di sini dan kami menderita setiap kali banjir kilat berlaku menyebabkan kerosakan pada rumah,” katanya kepada media, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas akibat banjir.

Seorang lagi penduduk, Mardan Sariman, 50-an memaklumkan sudah sembilan kali dia berhadapan dengan masalah banjir kilat di kampung itu.
“Saya bersyukur kerana kali ini Datuk (Jafry) turun padang melihat keadaan kami sekali gus menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian serta wang untuk mengurangkan beban kami yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, pihaknya sedang mengenal pasti langkah penyelesaian jangka panjang ke arah mengurangkan kesan serta kemusnahan yang ditanggung penduduk disebabkan banjir.
“Antaranya termasuk mendalamkan anak sungai yang ada dan membina tebing konkrit di sepanjang sungai bagi mengelak air daripada melimpah.

“Kalau boleh untuk penyelesaian jangka panjang, kita membina ‘granish concrete’ untuk memastikan pengaliran air akibat hujan berjalan secara baik dan ini semua dapat kita laksanakan.
“Saya yakin dan percaya masalah banjir di kawasan perumahan peneroka rancangan peringkat satu dan dua ini dapat kita selesaikan,” katanya.
Sementara itu, hasil tinjauan mendapati air sudah surut sepenuhnya dan penduduk kampung sudah mulai membersihkan rumah masing-masing.
Kejadian banjir kali ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka namun Jafry turut mengingatkan semua penduduk kampung dan anggota keselamatan agar sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.
-Deasoka