
Lahad Datu: Jabatan Hidupan Liar Sabah masih menjalankan proses bedah siasat seekor bangkai gajah pygmy betina yang ditemui di sini, baru-baru ini.
Pegawainya, Sylvester Saimin, berkata bedah siasat awal mendapati ada kandungan kadmium dalam bangkai gajah terbabit.
Katanya beberapa sampel organ seperti hati, jantung dan buah pinggang juga sudah dihantar ke Jabatan Racun Negara dan Jabatan Kimia untuk analisa.
“Setelah laporan itu diterima, barulah kita boleh mengenal pasti punca kematian gajah berkenaan,” katanya, di sini.
Beliau berkata, berdasarkan Enakmen Pemeliharaan 1997, gajah adalah antara spesies yang dilindungi sepenuhnya dengan populasi ketika ini dianggarkan hanya 500 ekor.
Katanya, banyak usaha pemuliharaan sudah dikaksanakan khususnya di Lahad Datu bagi melindungi dan mengelak kepupusan gajah.
Beliau berkata, ia termasuk menubuhkan jawatankuasa peringkat daerah bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) yang antaranya melaksanakan kerja seperti memasang satelit bagi mengetahui kedudukan gajah di hutan.
-Deasoka