
Kota Kinabalu: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah mengenal pasti 608 lokasi panas bencana banjir di Sabah yang diberi perhatian sepanjang musim Monsun Timur Laut yang bermula pada November hingga Mac depan.
Menerusi satu kenyataan, di sini, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, berkata sebagai persediaan awal, jawatankuasa itu menyediakan sebanyak 75 lokasi pendaratan helikopter bagi memudahkan urusan pemindahan mangsa dan penghantaran bantuan di kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat.
Katanya, kerajaan negeri juga sudah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut dengan kekuatan seramai 8,432 pegawai dan anggota pelbagai agensi, 928 pengangkutan darat, 206 pengangkutan air dan lapan logistik udara yang akan digerakkan apabila berlaku bencana.
“Kerajaan negeri sudah mengarahkan agar semua Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sentiasa bersiap sedia dan hendaklah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana di semua daerah pada bila-bila masa,” katanya.
Semalam, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah bermesyuarat bagi membincangkan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut di negeri ini.
Safar berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau isu berkaitan dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan dan agensi yang terbabit bagi memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat berjalan lancar.
Kehadiran Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Sabah sering menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti di daerah Beaufort, Tenom, Membakut, Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud.
-Deasoka