
Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menerima sebanyak 1,453 aduan daripada pengguna di negeri ini, sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Georgie Abas berkata, daripada jumlah itu, 546 atau 37.5 peratus adalah aduan berkaitan transaksi secara dalam talian.

Katanya, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Cawangan Sabah turut menerima sebanyak 32 kes tuntutan berkaitan pembelian secara dalam talian.
“Semua aduan yang diterima sudah disiasat dan diselesaikan. Sebanyak 30 kes tuntutan ‘online shopping’ yang diselesaikan adalah membabitkan nilai tuntutan berjumlah RM42,952.50.
“Kita berharap pengguna di Sabah dapat memainkan peranan masing-masing untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam berdepan ancaman penipuan, penggodam dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022, hari ini.
Georgie berkata, pihaknya mensasarkan untuk melahirkan komuniti pengguna yang menyedari hak mereka, mampu membuat keputusan yang tepat terutamanya berkaitan dengan transaksi wang ringgit dan lebih bijak berbelanja.
“KPDNHEP juga berharap agar pengguna memahami arus teknologi digital dan seterusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kepenggunaan digital,” katanya.
Georgie berkata, KPDNHEP menetapkan sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan di seluruh negara akan diisi dengan pelbagai aktiviti dan program berkaitan kepenggunaan.
Katanya, objektif Bulan Pengguna Kebangsaan adalah untuk memperkasa pengguna supaya menjadi lebih cakna dan berdaya upaya dalam pelbagai aspek terutama perlindungan pengguna.
“Tema bagi Hari Pengguna Kebangsaan pada tahun ini yang ditetapkan adalah ‘Digitalisasi Pengguna’ bersesuaian dengan tema sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia (HHPS) iaitu ‘Fair Digital Finance’ atau kesaksamaan dalam kewangan digital.
“Ia menumpukan kepada kesaksamaan dan perlindungan dalam aktiviti kewangan secara dalam talian,” katanya.
Menurutnya, pemilihan tema itu bertepatan dengan senario pandemik Covid-19 yang mana sebahagian besar transaksi bayaran, jual beli dan sebagainya dilakukan tanpa sentuhan dan transaksi dalam talian adalah platform yang paling selamat serta efisien.
Sementara itu, pelancaran sambutan bulan pengguna turut dimeriahkan dengan Pertandingan Cabaran Troli Pengguna.
Sebanyak 23 pasukan menyertai pertandingan itu yang terdiri daripada ahli Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Komuniti Kota Marudu, Asean Metropolitan College, Almacrest International College dan SIDMA College.
Dalam pertandingan berkenaan, dua wakil Kolej SIDMA, Natasha Jan Anak Embak dan Siti Nurshahira Zm Julhani dinobatkan sebagai johan dan membawa balik wang tunai sebanyak RM500 bersama sijil penghargaan.
Tempat kedua pula dimenangi Jeanifer Djopirin dan Shan Salverian Supani dari Almacrest International College manakala Vanessa Mansus dan Siti Mardhiah Ahmad Masnin yang mewakili Kolej SIDMA mendapat tempat ketiga.
Semua pemenang akan mewakili negeri ini untuk bertanding di peringkat kebangsaan yang diadakan pada 26 Mac depan di Nu Sentral, Kuala Lumpur.
-Deasoka