
Kota Kinabalu: Kira-kira 350 graduan kelahiran Sabah bakal menerima manfaat menerusi kursus keusahawanan dan ‘Train and Place’ yang dianjurkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula bulan ini.
Pengarah Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar UMS (PKPKP), Dr Soon Singh Bikar Singh berkata, kursus yang diadakan secara dalam talian itu adalah di bawah program Penjana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) @ Sabah Fasa 2.
“Kursus yang berlangsung sekitar dua minggu hingga sebulan ini bertujuan meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan dalam mendapatkan peluang pekerjaan terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Ia merupakan inisiatif di bawah KPT dan dilaksanakan oleh UMS dengan kerjasama kerajaan Sabah,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Soon lagi, kursus itu adalah percuma dan terbuka kepada graduan yang telah menamatkan pengajian mereka pada 2019-2021.
“Graduan harus mengambil manfaat yang diberikan KPT dan kerajaan Sabah menerusi program ini dalam mereka menentukan laluan kerjaya masing-masing.
“Ia sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan mengurangkan kadar pengangguran khususnya dalam kalangan belia di negeri ini.
“Bagi kursus Train and Place, UMS akan bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Yayasan Usaha Maju dan Tekun Nasional Sabah bagi penempatan pekerjaan selepas tamat latihan,” katanya.
-Deasoka