
Pitas: Seramai 316 mangsa banjir membabitkan 97 keluarga sudah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah ini, hari ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, setakat jam 12 tengah tadi, mangsa dipindahkan membabitkan seramai 81 lelaki dan 118 wanita serta 107 kanak-kanak.

Katanya, 108 mangsa adalah penduduk dari Kampung Tambilidon, Kalumpang, Taka dan Saab Darat yang dipindahkan ke PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II.
“Manakala seramai 135 orang dari 36 keluarga yang dipindahkan adalah penduduk Kampung Rukom Ulu.

“Semua 135 orang ini ditempatkan di PPS Dewan SK Rukom, manakala 73 mangsa dari Kampung Kusilad ditempatkan di PPS Dewan Kampung Kusilad, di sini,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan SK Pekan II dan Dewan SK Rukom itu mula dipindahkan bermula jam 4 petang dan PPS Dewan Kampung Kusilad pula dibuka pada jam 6 petang, semalam.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kudat memaklumkan setakat jam 8 pagi hari ini, tiada PPS baru dibuka berikutan paras air masih dalam keadaan terkawal dan selamat.
-Deasoka