
Kota Kinabalu: Sebanyak 14 notis kompaun dikeluarkan kepada orang awam dan pemilik premis hasil Operasi Penguatkuasaan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Bersepadu yang dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu, hari ini.
Operasi yang dilaksanakan seawal jam 8.30 pagi itu berjaya mengesan pelbagai kesalahan membabitkan kegagalan individu mengimbas aplikasi MySejahtera ketika masuk ke dalam premis, tidak mempamerkan tanda larangan merokok di premis, merokok di kawasan larangan dan peruncit menjual rokok di bawah harga minimum.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu merangkap Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Suhaila Osman berkata, kira-kira 50 penguat kuasa daripada Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyertai operasi itu.
Katanya, operasi diadakan bagi memastikan masyarakat setempat mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan bagi melindungi daripada bahaya penyakit berjangkit, keracunan makanan dan penyakit yang disebabkan rokok.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti di beberapa premis setakat ini adalah berkaitan dengan pelanggaran Peraturan-Peraturan Hasil Tembakau 2004 dan pelanggaran SOP di mana ada pengunjung tidak mengimbas MySejahtera ketika memasuki premis.
“Ada juga premis didapati tidak mematuhi dari segi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang telah ditetapkan dan setakat ini, memang kita ada jumpa dapur yang agak kotor namun tidak memerlukan tindakan segera dan teguran sudah diberikan
kepada pemilik supaya premis berada dalam keadaan bersih apabila pemantauan susulan dilakukan nanti,” katanya kepada media ketika hadir pada operasi itu di Jalan Gaya, di sini.

Mengulas lanjut, Suhaila bagaimanapun berkata, semua kesalahan itu melibatkan di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
Suhaila turut memaklumkan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu telah mengeluarkan sebanyak 74 kompaun di bawah akta dan peraturan terbabit manakala bagi tahun lalu, sebanyak 2,355 kompaun dikeluarkan.
Katanya, kesalahan yang paling banyak direkodkan adalah membabitkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelbagai agensi penguat kuasa yang lain iaitu sebanyak 2,053 kompaun bagi tahun lalu dan 51 kompaun lagi bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Terdahulu, sebanyak 500 premis di Jalan Gaya, Kampung Air dan Asia City serta seramai 1,500 individu diperiksa dalam operasi itu.
-Deasoka