
Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan setakat ini seramai 13,760 orang telah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 menerusi pengambilan khas yang dilaksanakan kementerian itu baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, KPM sebelum ini telah mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 guru secara ‘One Off’ bagi mengisi kekosongan guru di sekolah di bawah KPM.

“Sehingga 28 Nac 2022 seramai 13,760 telah berjaya ditemuduga oleh SPP dan telah ditawarkan lantikan tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41.
“Sehingga 28 Mac 2022 juga, seramai 2,582 guru telah ditempatkan di negeri Sarawak dan daripada jumlah itu seramai 794 orang adalah guru kelahiran Sarawak,” katanya dalam Persidangan Dewan Negara, di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya lagi, KPM yakin dengan pengambilan guru secara one off itu adalah salah satu usaha untuk mengatasi masalah kekurangan guru di seluruh negara khususnya di Sarawak.
“KPM akan terus meneliti dan berbincang dengan agensi pusat bagi mencari kaedah dan pendekatan terbaik bagi mengisi lebih banyak kekosongan guru dari semasa ke semasa,” ujarnya.
-Deasoka