
Tawau: Seramai 131 pelajar dan 12 warden di sebuah Maahad Tahfiz selamat tanpa sebarang kecederaan selepas asrama yang menempatkan mereka terbakar, hari ini.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, dua daripada tiga unit asrama berkenaan musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi hanya 50 peratus terbakar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang tadi.

Katanya, sepasukan 16 anggota dan pegawai bersama dua jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 100 meter menggunakan sumber air daripada jentera.
“Bagaimanapun, pasukan bomba mengalami kesukaran melakukan operasi pemadaman disebabkan tiada sumber air terbuka dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya terpaksa mendapatkan sumber air dari pili bomba dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bombalai yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kebakaran.
Katanya, semua 131 pelajar dan 12 warden selamat tanpat sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan.
“Api berjaya dikawal daripada terus merebak ke bangunan berhampiran pada jam 4.36 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.41 petang.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian ini,” katanya.
-Deasoka