Beraninya kamu…

Beraninya kamu…

Kota Kinabalu: Satu video yang tular menerusi aplikasi TikTok sejak pagi tadi, menarik perhatian ramai apabila memaparkan aksi seorang wanita menyelinap keluar daripada dawai besi di kawasan Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu.

Kawasan berkenaan adalah antara kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam hingga 25 Julai depan.

Berikutan itu, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan wanita terbabit untuk siasatan lanjut.

Aksi wanita meloloskan diri dari dawai besi di kawasan PKPD Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu.

Dalam video berdurasi 0.31 saat yang dirakam jam 8.30 malam tadi itu, memaparkan wanita berbaju putih dan berseluar jeans sanggup meniarap untuk meloloskan diri dari dawai besi berkenaan sebelum melarikan diri ke arah bangunan berhampiran.

Selain itu, individu yang merakam aksi wanita itu turut berkata ‘bahaya dek (adik)… bahaya kau buat begitu dek.

“PKP itu tu dek, bukan tiada bantuan. Astaghfirullahalazim,” ujarnya dalam rakaman video berkenaan.

Wanita yang dipercayai menyelinap keluar daripada dawai besi di kawasan PKPD berkenaan.

Difahamkan, sebelum rakaman dibuat, lelaki terbabit turut menjerit kepada wanita itu supaya tidak keluar daripada pagar besi berkenaan.

Malah sebelum itu, bantuan bakul makanan juga sudah diedarkan untuk penghuni di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu selepas rakaman berkenaan tular di media sosial.

Katanya, pihak polis sedang mengesan wanita terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

“Kita nasihatkan kepada orang ramai yang berada di kawasan PKPD supaya terus mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Ia bukan saja membahayakan diri masing-masing tetapi juga boleh dikenakan tindakan tegas kerana melakukan kesalahan melanggar perintah PKPD,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|