Tawau perlu lebih banyak PPR untuk tangani masalah setinggan

Tawau perlu lebih banyak PPR untuk tangani masalah setinggan

Tawau: Pembinaan lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) dilihat sebagai langkah terbaik untuk menangani masalah penempatan setinggan yang terdedah kepada bencana kebakaran besar.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang, berkata pembinaan PPR adalah penyelesaian yang sesuai untuk mengatasi risiko kebakaran setinggan yang kerap berlaku di daerah ini.

Joseph ketika ditemui media selepas melawat mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Kinabutan Kecil, Tawau.

Katanya, pembinaan rumah penempatan setinggan yang tidak terancang dan terlalu rapat menyebabkan kemusnahan yang besar setiap kali berlakunya kebakaran.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kerajaan perlu memperbanyakkan pembinaan PPR bukan saja untuk menyelesaikan masalah setinggan, malah dapat memenuhi keperluan rakyat.

Joseph bertanya khabar ketika melawat mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Kinabutan Kecil, Tawau.

“Ini adalah antara perkara yang kita mohon beberapa tahun yang lepas, kerajaan negeri juga telah memohon supaya lebih banyak rumah PPR dibina di daerah Tawau.

“Jadi, itulah kita mengharapkan lebih banyak rumah PPR akan dibina bagi memenuhi keperluan masyarakat, itulah harapan kita,” katanya ditemui selepas melawat mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Kinabutan Kecil, di sini, hari ini.

Berikutan insiden kebakaran pada Khamis lalu, semua mangsa kini ditempatkan di empat pusat penempatan sementara (PPS) dalam tempoh tiga hari.

Joseph berkata, semua rumah PPR yang ada di Tawau ketika ini sudah penuh dan berharap mangsa dapat menghubungi ahli keluarga untuk berpindah setelah tempoh tinggal di PPS tamat esok.

“Buat masa ini kita punya PPR sudah penuh jadi kita tidak ada tempat lagi untuk menampung keperluan penduduk. Itulah sebabnya kita memerlukan lebih banyak PPR dibina di daerah ini.

“Jadi kita menasihatkan kepada mangsa, dalam tempoh tiga hari ini mereka cubalah mencari sanak keluarga, saudara-mara mereka untuk memohon bantuan dan kita mengharapkan saudara-mara mereka ini dapat memberi bantuan kepada mereka supaya dapat duduk sementara di rumah mereka,” katanya.

Sehingga hari ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tawau mengenal pasti seramai 575 ketua isi rumah mangsa kebakaran, namun JKM masih menunggu mangsa yang belum tampil untuk melaporkan diri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|