SOP baharu masjid dan surau mulai 1 April

SOP baharu masjid dan surau mulai 1 April

Kota Kinabalu: Pihak berkuasa agama negeri akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi mengelak penularan Covid-19 jika penjarakan fizikal di masjid dan surau negeri ini dimansuhkan sejajar peralihan ke fasa endemik Covid-19 bermula Jumaat ini.

Menurut Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata perincian mengenai SOP itu akan diputuskan pada mesyuarat khas yang dipengerusikan Mufti Kerajaan Negeri, hari ini.

Arifin ketika bercakap kepada media. Pix Ihsan Jabatan Penerangan

Katanya, mesyuarat itu disertai semua agensi agama Islam di Sabah iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sekiranya dibenarkan merapatkan saf, kita akan menetapkan beberapa SOP di bawah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh mufti bersama-sama JHEAINS, MUIS dan JAKIM,” katanya kepada media pada Majlis Khatam Al-Quran Saudara Kita di Dewan Saadah MUIS, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad, Pengarah JHEAINS, Datuk Saifulzaman Sangul dan Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Datuk Norjeli Dais.

Sementara itu, Arifin berkata kerajaan akan terus memartabatkan usaha membudayakan Al-Quran dalam kalangan umat Islam khususnya saudara baharu.

Pada majlis itu, seramai 60 saudara baharu berjaya khatam Al-Quran menerusi program belajar Al-Quran secara dalam talian sejak enam bulan lalu.

“Khatam Al-Quran hari ini melibatkan saudara-saudara baharu yang dibimbing oleh guru-guru daripada JHEAINS dan MUIS selama enam bulan dan inilah antara usaha kita untuk membudayakan Al-Quran dalam kalangan masyarakat khususnya saudara baharu.

“Kita akan melebarkan lagi program ini dengan menganjurkannya di peringkat bahagian selain menagadakan seminar membabitkan saudara baharu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga merancang untuk mewujudkan sebuah Kolej Islam Sabah dan mungkin menaik taraf Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah menjadi sebuah kolej.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|