Sipitang bakal jadi hub pengeluar buah, ternakan bermutu tinggi

Sipitang bakal jadi hub pengeluar buah, ternakan bermutu tinggi

Sipitang: Sipitang bakal menjadi hub pengeluar buah-buahan tempatan dan ternakan yang bermutu tinggi untuk pasaran tempatan dan eksport sebaik Sipitang Halal Agri Plantation Economic Development Hub (SHAPE) siap sepenuhnya.

SHAPE yang akan dibangunkan di tanah seluas 2,798 hektar di Kampung Iburu di sini, oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) membabitkan pelaburan sebanyak RM167 juta itu dijangka mampu menarik pelabur luar ke kawasan berkenaan.

Yusof Yacob (dua kiri) bersama Syaheddrul (tiga kiri) pada Majlis Pecah Tanah SHAPE di Kampung Iburu, Sipitang.

Pengurus Besar SLDB Syaheddrul R Joddari berkata, projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa satu melibatkan Kawasan Iburu Komersial milik SLDB seluas 1, 252 hektar dengan kos pembangunan sebanyak RM96.8 juta.

“Fasa kedua melibatkan kawasan Iburu Agropolitan seluas 1, 133 hektar dicadang untuk dilaksanakan dengan kos sebanyak RM70.2 juta.

Syaheddrul menanam pokok avocado sempena Majlis Pecah Tanah SHAPE di Kampung Iburu, Sipitang.

“Konsep keseluruhan SHAPE yang berasaskan pertanian moden merupakan program pembangunan memfokuskan kepada pegeluaran, pemasaran dan pengedaran makanan segar dan kering untuk pasaran tempatan selain eksport ke Brunei Darussalam yang merupakan Hub Bekalan Makanan Halal Asia Tenggara,”katanya pada Majlis Pecah Tanah SHAPE di Kampung Iburu, di sini, kelmarin.

Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Sipitang, Awangku Raimy Pg Abd Rahman.

Syaheddrul berkata, antara objektif SHAPE ialah menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri melalui aktiviti eksport yang secara langsung akan menyumbang kepada peningkatan Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

“SHAPE juga akan membantu mengurangkan kebergantungan negeri pada produk import kerana terdapat tiga komponen dalam hub tersebut, iaitu Zon Hortikultur (halia, avocado, nanas dan durian), Zon Agrikultur (kelapa dan kopi), Zon Ternakan (lembu dan kambing), Zon Pentadbiran, Komersil dan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D).

“Kita berharap dapat mewujudkan lebih ramai ‘Agro – Preneur’ muda di kalangan peserta yang lebih kompetitif dan mampan, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar.

“Dianggarkan sebanyak 284 peluang pekerjaan diwujudkan pada Fasa 1 dan sebanyak 264 peluang pekerjaan pada Fasa 2.

“Pelaksanaan projek ini akan memberikan manfaat kepada seramai 2, 500 komuniti di sekitar Kampung Iburu. Komuniti yang berpendapatan tinggi melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang wujud,” katanya.

Syaheddrul berkata, SLDB juga menandatangai perjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama mengusahakan tanaman durian musang king dan avocado serta meningkat pengeluaran hasil tanaman buah-buahan lain yang berpotensi tinggi bersama Koperasi Keluarga Balang Basi (KBB) dan melibatkan seramai 50 peserta serta Koperasi Kampung Iburu Sipitang Berhad (KKISB) seramai 32 peserta.

“SLDB menaruh harapan tinggi agar SHAPE dapat dijayakan sepenuhnya sekaligus menjadikan daerah Sipitang sebagai hub pengeluar buah-buahan tempatan dan ternakan yang bermutu tinggi disamping dapat membantu melahirkan usahawan tani yang berjaya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|