Petrol cuba diseludup dirampas

Petrol cuba diseludup dirampas

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya merampas minyak petrol yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 10 malam itu, barang kawalan itu dikesan dibawa menggunakan sebuah bot yang dikesan di sekitar Laut Kalapuan, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi yang sedang melakukan pemantauan terus menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pasukan operasi menemui beberapa jerikin berisi minyak petrol.

“Semua minyak petrol bersubsidi berkenaan dipercayai dibawa untuk diseludup ke negara jiran.

“Nilai rampasan kali ini dianggarkan sebanyak RM14,681.60 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad berkata, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|