Penagih bersenjatakan parang ditahan

Penagih bersenjatakan parang ditahan

Papar: Seorang lelaki di bawah pengaruh dadah bertindak agresif sambil memegang parang berjaya ditahan polis dalam operasi di kawasan daerah ini, kelmarin.

Suspek berusia lingkungan 40 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, kejadian berlaku apabila anggota polis mengarahkan suspek yang dalam keadaan mencurigakan untuk berhenti bagi menjalankan pemeriksaan.

Katanya, sebaik diarahkan untuk berhenti suspek segera melarikan diri sebelum pasukan polis mengejar dan ditahan tidak jauh dari lokasi berkenaan.

“Suspek yang ditahan kemudiannya bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang sebelum berlaku pergelutan.

“Bagaimanapun kecekapan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Natkotik IPD Papar berjaya menahan suspek terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek yang ditahan kemudian di bawa ke IPD Papar untuk menjalani ujian air kencing sebelum disahkan terbabit dengan pengambilan dadah dan positif Methamphetamine serta Amphetamine.

“Dalam kejadian itu, polis turut merampas syabu seberat 5.63 gram yang dimiliki suspek.

“Suspek kini ditahan reman mengikut kesalahan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di Papar ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah dan aktiviti jenayah di daerah ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|