Maut dihempap forklift

Maut dihempap forklift

Sandakan: Seorang pengendali ‘forklift’ maut selepas dihempap jentera berkenaan ketika sedang menjalankan kerja-kerja mengangkat mesin, dalam kejadian di Jalan Karamunting, Pelabuhan Sabah, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, lelaki berusia 60-an itu dikatakan gagal mengawal jentera berkenaan sebelum terbalik dan terus menghempap mangsa.

Keadaan forklift yang menghempap mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.46 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan sebuah lagi jentera forklift kilang.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan tindakan selanjutnya bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.55 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|