Lori bawa muatan petrol ditahan

Lori bawa muatan petrol ditahan

Tawau: Sebuah lori yang membawa muatan minyak petrol ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan dalam kejadian di sebuah stesen minyak di pusat bandar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, pemandu lori berusia 38 tahun terbabit ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen sah untuk membawa semua barangan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, lori berkenaan dikesan dalam operasi Op Landai yang dijalankan bagi memantau kes berkaitan penyeludupan barang kawalan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan surat dan permit kebenaran bagi membawa barang berkenaan.

“Suspek gagal memberikan dokumen sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Ketika ditahan, suspek sudah mengisi petrol ke dalam lori tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ridzauddin berkata, suspek terus ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM62,050 dan siasatan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961

Sehubungan itu, PPM menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan secara terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983268 bagi memastikan kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|