Komander ESSCOM kekalkan ‘sifar kes penculikan’

Komander ESSCOM kekalkan ‘sifar kes penculikan’

Lahad Datu: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berjaya mengekalkan ‘sifar kes penculikan’ di kawasan pantai timur Sabah sepanjang menerajui ESSCOM.

Beliau berkata, ia hasil daripada perkongsian maklumat perisikan antara ESSCOM dengan pihak keselamatan Filipina dan Indonesia.

“Kes penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang terakhir pada 15 Januari 2020, atas tindakan pantas perisikan ESSCOM membuat perkongsian maklumat.

“Tiga penjenayah KFR telah ditembak mati tiga hari selepas insiden di Sulare Island, Sulu manakala ketua kumpulan Mamay Aburi telah berjaya ditembak mati enam bulan kemudian di Zambanga Sibugay,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Perbarisan Perpisahan Sempena Persaraannya di sini, hari ini.

Katanya lagi, sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Komander ESSCOM, misi dan arahannya kepada Ketua Perisikan ESSCOM berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

“Dua clan besar kumpulan Abu Sayyaf (ASG) telah berjaya dimusnahkan iaitu Clan Hatip Munap Binda (Operasi di Beaufort dan Pulau Timbang), manakala Clan Jemaah Group Pimpinan Ustaz Mamay Aburi juga telah berjaya dimusnahkan,” katanya.

Ahmad Fuad turut berkata, dalam tempoh yang sama pihaknya turut berjaya meneutralaiskan sembilan sasaran utama terutama yang membabitkan operasi membanteraskan jenayah kes penculikan dan penyeludupan.

Sehubungan itu, beliau memberi penekanan bahawa bahagian perisikan untuk menanggani ancaman utama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) akan tetap diteruskan walaupun terdapat kekangan.

Sebelum itu, Ahmad Fuad yang berasal dari Gombak, Selangor telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 39 tahun dengan memulakan kerjaya sebagai Inspektor Pelatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pada 1982.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau pernah bertugas dalam pelbagai unit termasuk di ESSCOM sebelum bersara berkuat kuasa pada 11 Disember ini.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|