Kemalangan babitkan 14 warga Indonesia

Kemalangan babitkan 14 warga Indonesia

Kimanis: Perjalanan pulang 14 warga Indonesia dari menghadiri majlis perkahwinan bertukar detik mencemaskan apabila kenderaan dinaiki terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Kimanis-Keningau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, seorang parah dan dua cedera ringan manakala selebih selamat tanpa sebarang kecederaan.

Mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, semua mereka dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas menghadiri majlis kahwin ahli keluarga di Keningau.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5 petang.

Mangsa yang cedera berjaya dikeluar dari kenderaan sebelum diberi rawatan awal.

Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran membawa 14 penumpang warga Indonesia yang terbabas sendiri di bahu jalan.

“Seorang lelaki dan wanita mengalami kecederaan ringan dan mereka terus dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam manakala seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan parah diberi rawatan oleh Pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa lain berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan semua mereka selamat tanpa sebarang kecederaan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.17 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|