Beaufort, Putatan catat 100 peratus penduduk terima satu dos vaksin

Beaufort, Putatan catat 100 peratus penduduk terima satu dos vaksin

Kota Kinabalu: Dua daerah di Sabah mencatat lebih 100 peratus penduduk sudah mendapat satu dos vaksin Covid-19, setakat semalam.

Berdasarkan statistik yang dikongsi Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, berkata daerah terbabit ialah Beaufort dengan pencapaian 100.25 peratus dan Putatan sebanyak 100.06 peratus.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Dr Rose Nani berkata tiga daerah lagi mencatat lebih 80 peratus penduduk yang sudah mendapat satu dos vaksin setakat semalam.

Daerah terbabit katanya ialah Sipitang (81.54 peratus), Kota Kinabalu (86.7 peratus) dan Kuala Penyu (93.96 peratus).

“Lima daerah lagi mencatat lebih 70 peratus penduduk menerima satu dos vaksin iaitu Kota Marudu (73 peratus), Beluran (73.87 peratus), Pitas (76.11 peratus), Penampang (76.17 peratus) dan Tuaran (78.69 peratus),” katanya.

Berdasarkan statistik berkenaan, daerah Kinabatangan mencatat peratusan terendah dengan hanya 36.95 peratus sudah menerima satu dos vaksin setakat ini.

Ia diikuti daerah Tongod (43.19 peratus), Semporna (47.95 peratus), Nabawan (49.17 peratus), Tawau (50.67 peratus), Sandakan (53.39 peratus), Kunak (53.85 peratus) dan Papar (58.36 peratus).

Selebihnya, Keningau (65.02 peratus), Lahad Datu (65.31 peratus), Tambunan (65.52 peratus), Kota Belud (65.52 peratus), Ranau (68.67 peratus), Kudat (68.78 peratus) dan Tenom (69.91 peratus).

Dr Rose Nani berkata, secara keseluruhan sebanyak 63.7 peratus populasi dewasa di Sabah sudah menerima satu dos vaksin, manakala 47 peratus lengkap dua dos vaksin, setakat semalam.

Sementara itu, Dr Rose Nani menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan mesej tidak tepat yang mengatakan penerima vaksin dikenakan bayaran, manakala penduduk bukan warga negara akan ditahan ketika mengambil vaksin.

“Terdapat mesej di media sosial yang tidak benar dan tular iaitu mengatakan pemberian vaksin dikenakan bayaran.

“Selain itu terdapat juga pihak yang menakutkan penduduk bukan warga negara dengan mengatakan mereka ditahan pihak berkuasa semasa mengambil vaksin, perkara ini adalah tidak benar.

“Tujuan utama pemberian vaksin kepada semua adalah untuk memastikan semua penduduk yang tinggal di Sabah adalah selamat daripada jangkitan Covid-19,” katanya,” katanya.

Beliau menekankan vaksin yang diberikan oleh kerajaan adalah percuma kepada semua, sama ada penduduk warga negara atau bukan warga negara.

Katanya, penduduk tanpa dokumen juga diminta untuk mendapatkan vaksinasi dengan segera.

“Bagi mencapai imuniti kelompok, seramai 1,023,782 penduduk lagi yang perlu divaksinasi di Sabah.

“Juateru itu, jabatan ini menyeru penduduk yang belum divaksinasi untuk pergi ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat atau datang ke aktiviti jangkauan luar bagi mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|